Jangan pecat Villas-Boas : Rooney

PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney tidak bersetuju jika pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas dipecat dan menyeru penyokong Chelsea supaya percaya dengan keupayaan bekas pengurus Porto itu.

Villas-Boas baru saja diberi tanggungjawab untuk mengurus pasukan The Blues itu pada bulan Jun tetapi sekarang dikritik keras peminat-peminat kerana prestasi yang teruk. Mereka mengalami empat kekalahan di dalam tujuh perlawanan lepas di dalam semua pertandingan dan ini adalah rekod permulaan musim yang terburuk sejak jutawan Russia, Roman Abramovich menjadi pemilik kelab pada tahun 2003.

Rooney berkata kepada akhbar The Sun, "Ramai orang berkata yang dia patut dipecat, saya fikir itu tidak perlu. Saya agak terkejut apabila mengetahui perkara ini kerana sebelum ini Chelsea adalah pasukan yang kuat, mereka sangat sukar untuk dibolosi dan dikalahkan. Mungkin musim ini mereka mengalami sedikit kesukaran tetapi mereka ada pengurus baru dan gaya permainan baru yang pasti mengambil masa untuk menyesuaikan diri."

"Lihat pencapaian 25 tahun Sir Alex Ferguson di Manchester United, Arsene Wenger di Arsenal dan David Moyes di Everton. Mereka semakin stabil dan konsisten. Bagi saya pilihan yang terbaik adalah terus percaya kepada pengurus anda." katanya lagi.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.