MANCHESTER United gagal untuk melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir Carling Cup apabila tewas 2-1 di tempat sendiri kepada kelab dari liga kedua England, Crystal Palace, pagi tadi.
United yang banyak menurunkan pemain kedua tidak banyak mencipta peluang sehinggalah mereka dihukum dengan gol rembatan jauh pemain tengah Palace, Darren Ambrose pada minit ke-65.
Namun dua minit selepas itu penyerang United, Macheda menjaringkan gol penyamaan United apabila beliau dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pertahanan Palace.
Harapan Sir Alex untuk melayakkan diri ke separuh akhir berkecai apabila Glenn Murray menanduk gol kemenangan Palace pada masa tambahan hasil dari sepakan percuma Ambrose.
"Saya minta maaf kepada semua peminat kerana itu bukanlah persembahan sebenar Manchester United. Semasa masa tambahan saya berharap kami akan menjaringkan gol tetapi ia tidak berlaku."
"Gol kedua mereka adalah offside tetapi sayangnya penjaga garisan tidak menyedari perkara itu. Saya tidak berniat untuk merendahkan mereka (Crystal Palace), mereka sangat bekerja keras dan akhirnya mereka dapat apa yang mereka mahukan" kata Ferguson di MUTV.
Crystal Palace akan bertemu Cardiff City manakala Manchester City akan bertemu Liverpool pada perlawanan separuh akhir. Perlawanan tersebut akan berlangsung secara timbal balik pada 9 Januari (pusingan pertama) dan 23 Januari (pusingan kedua).



