BEKAS bintang Manchester United, David Beckham membuat kenyataan bahawa Manchester City tidak mempunyai peluang untuk merangkul juara EPL musim ini.
Beliau berkata demikian di sidang media di Jakarta sempena lawatan LA Galaxy ke Asia Pasifik semalam. Juara Major League Soccer itu akan menentang pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, esok.
"Pada pendapat saya, City tidak berpeluang untuk menjadi juara. Musim ini mereka mempunyai pasukan dan pemain yang bagus, tetapi Manchester United mempunyai pengalaman yang lebih dan mereka tahu bagaimana untuk memenangi liga." katanya.
Manchester City ketika ini masih di tangga teratas carta EPL dengan rekod tanpa kalah dan mempunyai kelebihan lima mata dari musuh ketat mereka, Manchester United.
Kontrak Beckham bersama LA Galaxy akan berakhir pada bulan Januari tahun depan. Ketika ditanya tentang masa depannya sama ada mahu menyertai kelab gergasi Itali, AC Milan atau kelab dari Perancis, Paris Saint-Germain, beliau hanya menjawab, "Saya ada pilihan sukar yang harus dibuat."



