| Seorang maut, empat cedera
TANAH MERAH - Seorang lelaki maut, dua parah dan dua lagi cedera ringan apabila kereta yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di hadapan kawasan kubur Bukit Bunga di Kilometer 79, Kota Bharu-Machang-Jeli di sini, semalam. Dalam kejadian pada jam kira-kira 2.45 petang itu, pemandu Proton Iswara Aeroback, Chong Lian Hee, 48, maut di tempat kejadian, manakala seorang guru dan pelajarnya, Osman Salleh dan Norazlina Che Hassan, 17, patah kaki. Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa terbabit dimasukkan ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut, manakala dua lagi pelajar yang cedera ringan Nurshuhada Ishak, 17, dan Mohd Rosdi Ahmad, 16, menerima rawatan di Hospital Jeli. “Dalam kejadian itu, kereta yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke arah laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Toyota yang dinaiki dua guru dan tiga pelajar SMK Batu Melintang, Jeli. “Ketika itu sebuah kereta Perodua Viva turut melanggar kenderaan mangsa namun pemandunya tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Sementara itu, seorang saksi kejadian, Ahmad Wisam Idris, 31, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Tanah Merah. Menurutnya, kenderaan dipandunya ketika itu sedang mengekori kereta jenis Toyota yang berada di hadapan. “Ketika tiba di hadapan Tanah Perkuburan Islam Bukit Bunga ini, saya lihat sebuah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback menghala ke Jeli memasuki lorong bertentangan. “Kenderaan Toyota berada di hadapan saya ketika itu tidak sempat mengelak kerana jaraknya terlalu dekat lalu bertembung dengan kereta Iswara berkenaan yang dipercayai dipandu laju,” katanya. Ahmad Wisam berkata, dia bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu walaupun kenderaannya remuk di bahagian hadapan akibat berlaku pelanggaran dengan kereta Iswara terbabit. Pemandu yang maut kemudiannya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya setelah pasukan Bomba dan Penyelamat Tanah Merah dan Jeli bertungkus-lumus selama kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. |




