| Kumpul dana siap surau
SUNGAI LALANG - Usaha penduduk Taman Zon Mawar Amanjaya di sini, bermuafakat membina Surau Al-Ikhlas taman berkenaan sebagai langkah murni kerana tidak mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak. Exco Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, usaha murni penduduk itu perlu dicontohi masyarakat lain demi mewujudkan komuniti berdikari. Menurutnya, semangat penduduk yang mengumpul dana dalam kalangan mereka untuk membina surau itu perlu diberikan pujian kerana selama ini penghuni Taman Zon Mawar Amanjaya Fasa 6 dan Fasa 7 tidak mempunyai kemudahan itu. “Saya difahamkan penduduk taman ini mengumpul dana dalam kalangan mereka untuk membina surau ini bagi memberikan kemudahan kepada penduduk sekitar yang dipercayai mempunyai hampir 2,500 kariah yang akan menggunakannya," katanya ketika melawat pembinaan surau itu. Hadir sama, Ahli Parlimen Merbok, Datuk Rashid Din dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam. Sementara itu, Bendahari Penaja Surau Al-Ikhlas, Ridzuan Abdullah berkata, beliau dan beberapa jawatankuasa lain turut memohon derma serta sumbangan bagi menambah dana pembinaan surau berkenaan. Bagaimanapun, Mohamed Taulan menyarankan agar Ridzuan mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Agama Islam terlebih dahulu sebelum memohon sebarang derma serta sumbangan daripada masyarakat. Menurut Ridzuan, hasil sumbangan penduduk taman itu dan orang ramai, Surau Al-Ikhlas telah dibina hampir 40 peratus serta memerlukan hampir RM500,000 bagi menyiapkannya yang dilakukan secara gotong-royong. “Saya akan menerima cadangan Mohamed Taulan di atas usul beliau untuk menyempurnakan pembinaan surau ini dengan kelengkapan yang memuaskan,” katanya. Justeru, katanya, kepada sesiapa berminat memberikan sumbangan kepada penduduk Taman Zon Mawar Amanjaya boleh menghubungi Ridzuan di talian 019-481 5441 ataupun menghubungi Pengerusi Surau Ail-Ikhlas, Noor Akmar Arais di talian 012-462 8359. |




