Pengunjung : 6102 Ahad 14-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
ADUN Terengganu jumpa Hishammuddin

PUTRAJAYA – Sekumpulan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) :Terengganu mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bagi membincangkan hala tuju UMNO negeri itu.

ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam yang mewakili kumpulan ADUN itu berkata, pertemuan dengan Hishammuddin sebenarnya mahu memperkukuhkan UMNO Terengganu di bawah kepimpinan negeri dan bukan seperti andaian sesetengah pihak kononnya untuk menyelesaikan krisis di negeri tersebut.

“Orang ramai melihat UMNO di Terengganu mempunyai pelbagai masalah, sebenarnya kita tiada masalah, ADUN Terengganu sudah bersedia untuk bersama semula melalui proses dan gambaran yang boleh kita kongsi.

“Keadaan di negeri ini sebenarnya baik sahaja, tiada masalah yang besar, tiada isu yang besar kerana isu yang paling penting sekali adalah untuk rakyat,” katanya kepada media selepas pertemuan terbabit, semalam.

Mengenai dakwaan terdapat dua puak UMNO di negeri tersebut, Din menjelaskan kewujudan dua puak tersebut sebenarnya tidak betul sama sekali.

“Perkara paling penting sekali bagi semua ahli UMNO Terengganu adalah bagaimana untuk memberi kekuatan kepada parti dan kerajaan, itu kekuatan yang sebenarnya,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Terengganu turut menjelaskan hubungan sesama ADUN terbabit dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sentiasa baik dan tidak pernah timbul soal perpecahan.

“Kita tiada masalah dengan Menteri Besar, kita juga akur kepada pelantikan yang telah dibuat, kita tidak sesekali akan derhaka,” katanya.

Sementara itu, mengenai pertemuan ADUN terbabit dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Din menolak dakwaan tersebut dengan mengatakan ia sengaja diada-adakan untuk kepentingan politik sesetengah pihak.

Menurutnya, pertemuan dengan Ketua Pembangkang itu tidak pernah terjadi dan isu tersebut sengaja diperbesar-besarkan pihak berkepentingan untuk tujuan politik semata-mata.

“Saya tidak tahu pernah ada pertemuan seperti itu, setakat pengetahuan saya tiada pertemuan tersebut, memandangkan keadaan sekarang, jadi saya tidak hairan sesetengah pihak memainkan isu ini untuk kegunaan politik,” katanya.

Antara ADUN yang hadir ialah ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, , Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Ramlan Ali (Jabi), Wan Mohd Hakim Wan Mokhtar (Air Putih) dan ADUN Hulu Besut, Nawi Muhamad.

Krisis UMNO Terengganu dikatakan bermula setelah sebahagian ADUN tidak berpuas hati dengan pelantikan Menteri Besar sekarang.