Pengunjung : 1977 Jumaat 3-9-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Program Gegar Belia isi masa belia dengan berfaedah

KOTA BHARU – Program Gegar Belia merupakan antara usaha murni untuk menarik penyertaan golongan belia bagi mengisi masa mereka dengan kegiatan yang lebih berfaedah.

Timbalan Pengarah Teknikal Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Ir Che Hassin Che Mud berkata, melalui program tersebut belia diberi peluang dan ruang untuk menzahirkan bakat, tenaga kemahiran dan idea yang bernas.

“Acara yang disediakan seperti futsal, kereta kawalan jauh, helikopter kawalan jauh, tarik tali terbalik, permainan tradisional dan bermacam-macam lagi dapat menyediakan asas latihan kepada mereka.

“Ini kerana melalui acara tersebut ia dapat membentuk semangat berpasukan, setia kawan, yang boleh membantu mereka menyusuri kehidupan bermasyarakat kelak,” katanya semasa merasmikan majlis tersebut yang diadakan di perkarangan pasar raya Tesco di sini.

Beliau berkata, dengan adanya program seperti itu juga diharap dapat memberi makna yang besar kerana fokus pembangunan belia negara pada masa kini adalah untuk menjadi generasi belia sebagai modal insan kelas pertama.

Ia selaras dengan hasrat misi nasional dalam usaha mendekati golongan belia bukan hanya melalui aktiviti riadah semata-mata tetapi diharap menjadi medan input dalam bentuk informasi dan maklumat, katanya.

Menurutnya, tidak ketinggalan ibu bapa, guru-guru dan ahli masyarakat untuk turut sama mengambil bahagian dan memberikan sokongan kepada program ini.

Majlis tersebut merupakan Program Geger Belia sempena dengan sambutan hari belia peringkat kebangsaan dengan kerjasama sekretariat rakan muda, Kolej Yayasan Melaka dan Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan.