| UMT ‘B’ belasah Nyaman Sentosa ‘A’
KUALA TERENGGANU - Pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ’B’ menjuarai Kejohanan Futsal Acson Premier League 2009 Futsal anjuran Acson Malaysia Sales dan Service di Gelanggang Futsal Sport Planet Gong Badak, di sini, semalam. Kejohanan sempena menyambut ulang tahun ke-25 Acson itu disertai 13 pasukan futsal yang terdiri daripada wakil jualan syarikat itu. Pasukan UMT ‘B’ berjaya membelasah Nyaman Sentosa ‘A’ dengan menjaringkan lapan gol berbalas satu. Ketua pasukan UMT ‘B’, Mohd Hasmizi Mohd berkata, beliau gembira atas kemenangan diperoleh kerana kejohanan itu baru pertama kali diadakan. “Saya menjangkakan pasukan kami tidak dapat menewaskan pihak lawan pada peringkat akhir, namun semangat juang yang tinggi yang ada pada setiap pemain serta bijak mengatur strategi akhirnya memberi peluang kepada pasukan kami menundukkan pihak lawan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Menurut Mohd Hasmizi, bergelar johan membuktikan pasukannya mempunyai pemain hebat kerana sebelum ini UMT 'B' pernah meraih pingat emas di Kejohanan Sukan Staf IPTA. “Apabila pasukan kami sering menang, kami semakin yakin untuk berdepan pasukan lain dan kemenangan ini akan menyuntik semangat ahli pasukan untuk berjuang pada tahap yang lebih tinggi,” katanya. Tempat kedua dimiliki pasukan Nyaman Sentosa ‘A', Duyung FC (ketiga) dan tempat keempat, UMT ‘A'. Syarikat Acson akan mengadakan kejohanan seperti itu di Kota Bharu minggu depan bagi mencari wakil negeri pada peringkat kebangsaan. Pasukan johan berjaya mewakili negeri ini untuk beraksi pada peringkat kebangsaan yang dijangka bermula Oktober nanti. Selaku johan, pasukan UMT 'B' berjaya membawa pulang pendingin hawa model terbaru keluaran syarikat Acson berharga RM1,600 berserta pingat dan medal. |





