• Siti Fadzilah (dua, kanan) pada sidang media di sebuah hotel, dekat Seremban, semalam. Siti Fadzilah (dua, kanan) pada sidang media di sebuah hotel, dekat Seremban, semalam.
1 /

SEREMBAN – Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan anugerah sandang Ketua Imam Khalifah Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).

Beliau yang dianugerahkan jawatan itu pada 2007 digugurkan serta merta semalam, kerana tidak selari dengan perjuangan silat seni gayong berikutan pemimpin pembangkang itu dikaitkan dengan hubungan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pluralisme agama yang bercanggah dengan objektif dan misi persatuan.

Waris Keturunan Mutlak Mahaguru PSSGM, Datuk Siti Fadzilah Meor Rahman berkata, Anwar bercanggah dengan perjuagan silat seni gayong iaitu tidak mentaati tuhan, setia kepada raja dan pemimpin negara serta beramal baik.

“Saya selaku anak dan waris mutlak seni silat Gayong ciptaan arwah ayahanda saya Mahaguru Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman ingin mengingatkan semula amanat kepada semua anak murid dan guru silat Gayong.

“Anwar melanggar tatasusila sebagai seorang pemimpin Gayong kerana melanggar ikrar dan perjuangan silat seni Gayong,” katanya.

Siti Fadzilah bagaimanapun berkata, pihaknya tidak perlu menghantar sebarang surat pelucutan kepada Anwar kerana sudah mengumumkan kepada media hari ini (semalam).

“Berdasarkan akujanji dalam pertubuhan PSSGM, sebarang pelakuan yang tidak selari dengan perjuangan pertubuhan itu akan dilucutkan apa-apa anugerah diberi sebelum ini secara automatik,” katanya.

Menurutnya, pertubuhan yang memiliki lebih empat juta murid itu mengingatkan ahli berpegang teguh kepada ikrar-ikrar Gayong yang telah dilafazkan.

“Berpegang sifat amanah, pertahankan kedaulatan agama Islam, raja Melayu dan Malaysia. Peliharalah adat bangsa Melayu dan amalkan adab pekerti sebagaimana junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Imam Khalifah PSSGM Negeri Sembilan, Datuk Dr Ishak Hassan dan Pengasas serta Pemegang Amanah Yayasan Beladiri Malaysia, Datuk Seri Dr Mohamad Fairus Khairuddin.