• Mohd Azaman Mohd Azaman
1 /

PENGERANG – Seorang guru sanggup meletakkan jawatannya berkuat kuasa kelmarin, semata-mata mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Adela, Mohd Azaman Johari bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Pengerang dan yakin mampu menumpaskan dua pencabarnya.

Mohd Azaman berkata, meskipun lawannya terdiri daripada calon ‘terkenal’ namun beliau tetap yakin masyarakat di situ menyokongnya.

“Tak apalah, peluang itu ada. Biarlah mereka dikenali atau popular sekalipun. Saya sebagai anak tempatan tetap yakin akan menerima sokongan.

“Saya sudah lama berkhidmat di sini malah semua penduduk di peringkat akar umbi sudah kenal dengan saya,”katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Felda Adela merasa terpanggil bertanding atas tiket Bebas kerana tidak bersetuju dengan pemilihan calon yang dibuat pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Saya melihat banyak berlaku tidak puas hati dalam kalangan pengundi berikutan calon yang dipilih oleh pihak kepimpinan.

“Ramai penduduk tidak berani untuk bercakap, saya akan menegakkan keadilan dengan cara bertanding sebagai calon Bebas,” tegasnya.

Mohd Azaman hadir ke Dewan Kejora Bandar Penawar pada jam 9.20 pagi bersama pencadang, Mohd Fazli Yunus serta penyokong, Shahri Zailah Zakaria menyerahkan borang penamaan calon, semalam.