AYER KEROH – Kerajaan negeri akan menjejaki peneroka haram yang bertanggungjawab menceroboh hutan simpan kerajaan di Kampung Bukit Senggeh, Jasin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, hutan seluas 10 hektar itu diceroboh dan ditanam dengan pokok getah yang kini sudah boleh mengeluarkan hasil.

Beliau yakin perbuatan itu bukan dilakukan Orang Asli, sebaliknya ada pihak lain bertanggungjawab membiayai penanaman pokok getah itu.

“Orang kampung tidak pasti perbuatan siapa dan perkara ini akan disiasat bagi mengenal pasti siapa terlibat,” katanya.

Menurut Idris, pihaknya akan membuka tender bagi memajak kawasan terbabit selepas tidak bercadang untuk menebang pokok berkenaan.

Dalam perkembangan berlainan, Idris berkata, kerajaan negeri memutuskan supaya setiap wakil rakyat di negeri ini akan turun padang menyampaikan sendiri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penerima layak.

Menurutnya, proses penyerahan secara bersemuka kepada rakyat itu sudah dilaksanakan seperti pemberian sebelum ini.

“Semua wakil rakyat, pegawai kerajaan akan turun menyerahkan BR1M kepada rakyat dan kita tidak akan guna kemudahan elektronik.

“Kaedah ini akan mengeratkan lagi silaturahim antara pemimpin dan rakyat selain menggunakan masa ini untuk menyatakan rasa terima kasih kami kepada pengundi,” katanya.

Tambah Idris lagi, setakat ini, seramai 185,000 pemohon di negeri ini mendaftar bagi menerima bantuan itu di negeri ini, bagaimanapun dijangka lebih 200,000 pemohon mendaftar menjelang Februari depan.