SHAH ALAM - Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said telah ditahan polis sebentar tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden mengibar bendera selain Jalur Gemilang pada malam sambutan Ambang Merdeka, Jumaat lalu.

"Saya dalam perjalanan ke balai polis Dang Wangi.

"Saya dibawa tiga anggota polis," katanya yang dipetik dari laman mikro Twitternya, sebentar tadi.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah meminta Samad supaya menyerah diri.

Menurutnya, sasterawan itu merupakan antara tiga individu yang dilaporkan dilihat dalam insiden berkenaan.

Dua individu lain iaitu aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim dan aktivis politik, Hishamuddin Rais telah ditahan polis malam kelmarin di Kampung Baru, Kuala Lumpur dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Bagaimanapun, kedua-duanya telah dibebaskan pada jam 3.00 pagi semalam selepas diambil keterangan.

Pada sambutan malam kemerdekaan Jumaat lalu, sekumpulan aktivitis pro pembangkang dilihat bertindak mengibarkan bendera lain bagi menggantikan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka.

Rakaman video berkaitan insiden itu telah dimuat naik di laman sosial.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :