• Manifesto BN menggariskan enam sebab harus memilih perikatan itu. Manifesto BN menggariskan enam sebab harus memilih perikatan itu.
  • Manifesto BN menggariskan enam sebab harus memilih perikatan itu. Manifesto BN menggariskan enam sebab harus memilih perikatan itu.
  • Manifesto BN menggariskan enam sebab harus memilih perikatan itu. Manifesto BN menggariskan enam sebab harus memilih perikatan itu.
1 /

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) hari ini menggariskan enam sebab mengapa rakyat perlu terus memberi mandat kepada parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Menurut Manifesto BN yang dilancarkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini, enam sebab tersebut ialah Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat, rekod pencapaian, pengalaman, gerakan kesederhanaan, perkongsian kuasa telah teruji dan memenuhi kehendak rakyat.

Rakyat perlukan sebuah kerajaan kukuh yang berupaya melaksanakan Agenda Transformasi Negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi yang maju sepenuhnya, menurut manifesto bertajuk "Menepati Janji Membawa Harapan" itu.

BN sentiasa melakukan penambahbaikan dan sepanjang empat tahun lepas, kerajaan BN mencapai banyak kemajuan besar dalam meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian, menurutnya.

"Kejayaan yang dikecapi dalam tempoh 55 tahun tidak boleh dinafikan, kami adalah parti yang mempunyai rekod pencapaian mantap dan menunaikan segala janji. Selama ini, kerajaan yang diterajui BN telah membawa kemakmuran kepada segenap segmen masyarakat Malaysia," menurut manifesto bertemakan "Rakyat Didahulukan" itu.

"Kami akan meneruskan rekod kecemerlangan ini. Sekarang bukan masa untuk bereksperimen. Jangan sesekali melakukan uji kaji dengan masa depan kita."

Menurut manifesto itu, politik yang dibawa BN ialah politik perpaduan yang berpengalaman mengurus masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

"Parti komponen mengamalkan formula perkongsian kuasa yang efektif dan menolak politik benci membenci, pecah-belah serta menentang eksploitasi kaum dan agama untuk keuntungan politik".

Gabungan pelbagai parti BN telah teruji yang mana selepas 55 tahun, ia masih mewakili seluruh lapisan rakyat dari semua negeri di Malaysia kerana mengamalkan politik konsensus dan keterangkuman.

BN juga terus memperkasakan rakyat melalui peralihan yang terurus ke arah masyarakat progresif, moden dan demokratik dengan iltizam untuk melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar, menurut manifesto itu. - Bernama