TELUK INTAN - Seramai 26 majikan di daerah ini dikenakan kompaun kerana gagal mendaftarkan perusahaan, pekerja dan lewat melaporkan kemalangan, sementara 16 lagi didakwa sepanjang tempoh Januari hingga September  2013.

Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan  Teluk lntan, Sharifah Anisah Sayed Harun berkata, Ops Kesan dilancarkan serentak seluruh negara itu bertujuan mengambil tindakan terhadap majikan yang gagal mendaftar dan mencarum dengan Perkeso.

"Dalam penguatkuasaan yang kita jalankan, majikan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan Perkeso dikompaun sebanyak RM15,500.

"Ia inisiatif kita untuk memberi perlindungan di samping memupuk kesedaran dan kepentingan keselamatan serta kesihatan pekerja,” katanya pada Program Pemimpin Masyarakat Bersama Perkeso, di sini.

Hadir sama, Adun Changkat Jong, Mohd Azhar Jamaluddin.

Turut diadakan, penyampaian bantuan Perkeso kepada enam warga emas dan waris menerima pencen ilat serta bantuan kematian.

Dalam pada itu, Sharifah Anisah  berkata,  Program Pemimpin Masyarakat Bersama Perkeso diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman  masyarakat  mengenai Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Menurutnya, pendedahan itu akan memudahkan pemimpin masyarakat mengetahui fungsi dan peranan Perkeso, skim  perlindungan serta faedah disediakan kepada pencarumnya.

”Perkeso harap maklumat diberikan itu memudahkan pekerja membuat tuntutan mengikut prosedur,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, program itu dapat meningkatkan imej Perkeso sebagai agensi prihatin terhadap pekerja, majikan dan orang tanggungan serta masyarakat.

“Kita harap tiada pekerja teraniaya setelah  mereka  mendapat kefahaman mengenai fungsi Perkeso,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :