SYARIKAT produksi tersohor milik Datuk Yusof Haslam, Skop Productions Sdn Bhd telah memberi kepercayaan kepada dua pengarah muda untuk berganding bahu bersama-sama mengarah drama bersiri yang diadaptasi daripada filem Evolusi KL Drift 1 dan Evolusi KL Drift 2 yang satu ketika pernah menjengah pawagam pada 2008 dan 2010.

Dua pengarah yang semakin meningkat naik iaitu anak teruna Datuk Yusof sendiri, Syafiq, 19, dan Rizal Ashreff, 28, telah diberi tanggungjawab untuk mengarah drama bersiri sebanyak 26 episod yang berkisarkan mengenai sukan permotoran drift itu.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, “memang terdapat sedikit kelainan dari segi jalan cerita filem dan drama bersiri ini selain saya cuba membawa satu persembahan gaya baru dan tersendiri bersesuaian dengan konsep untuk layar TV."

“Disebabkan hal itu saya memberi kepercayaan kepada pengarah muda, Syafiq untuk mengalas tanggungjawab sebagai pengarah dan Rizal Ashreff selaku pengarah bersama selain saya turut berkongsi idea bersama mereka untuk memantapkan lagi jalan ceritanya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Evolusi KL Drift: The Series di Perbadanan Filem Malaysia (Finas).

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengalaman pertama kali dia mengarahkan drama bersiri, Syafiq menjelaskan, “Saya banyak menonton filem Evolusi KL Drift 1 dan Evolusi KL Drift 2 untuk mendapatkan ‘feel’ dan aura pengarahan seperti abang saya."

"Selain itu saya merasakan antara babak yang paling sukar untuk dilaksanakan adalah babak yang melibatkan drift tetapi mujur tiada sebarang kecederaan serius yang berlaku sepanjang penggambaran drama bersiri ini," katanya lagi.

Syafiq turut dikenali sebagai pengarah filem paling muda di Malaysia selepas dia mengarahkan filem SAM: Saya Amat Menyayangimu di ketika usianya baru 18 tahun.

Selain itu, Syafiq dan Rizal turut menjanjikan kelainan drama bersiri ini lain daripada filem melalui teknik-teknik shot yang digunakan selain kelainan dari segi jalan ceritanya yang lebih menumpukan kepada aspek kekeluargaan dan juga kemanusiaan.

Menurut Rizal, yang turut berpengalaman mengarahkan beberapa siri drama Gerak Khas sebelum ini, dia lebih banyak menumpukan kepada babak drift yang terlibat dalam drama ini selain menyatakan keserasiannya mengarah bersama Syafiq walau pun ini merupakan kali pertama mereka digandingkan sebagai pengarah bersama.

“Saya lebih menumpukan kepada aspek drift yang terdapat dalam kandungan drama ini dan yang menariknya mengenai drama ini ialah pihak produksi telah mendapat khidmat daripada ‘drifter’ nombor dua terhebat di Malaysia untuk membuat aksi-aksi lasak cerita ini,” katanya yang juga penulis skrip filem yang mencatat kutipan pecah panggung tahun lalu, KL Gangster.

Drama itu bakal menemui penonton pada setiap hari Khamis bermula 4 Oktober ini di TV2 dengan dibintangi Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana, Zain Saidin, Zach (X-Factor), Ridzuan Hashim dan Ammar Alfian Aziz.

Drama 26 episod ini turut diserikan dengan penampilan khas pelakon Aaron Aziz yang membawakan watak antagonis bersama Norman Hakim.