KUALA LUMPUR - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pembekal makanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan  pecah amanah membabitkan lebih RM30 juta tahun lepas.

Datuk Tan Han Kook, 59, dan Datuk Sarchu Sawal, 64 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dijadapan hakim, Rosbiahanin Arifin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Han Kook, sebagai ahli lembaga pengarah syarikat KPF Quality Foods Sdn Bhd (KPFQ), didakwa melakukan pecah amanah dana syarikat melalui 20 keping cek berjumlah RM13,164,955.

Sarchu pula sebagai CEO syarikat sama didakwa melakukan pecah amanah dana syarikat tersebut melalui 27 keping cek berjumlah RM16,963,825.

Kedua-dua kesalahan didakwa berlaku di Tingkat 2, Blok B Anjung Felda, Jalan Maktab, di sini, antara Ogos 2011 hingga Februari 2012.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum dua puluh tahun, dan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Azlin Sabtu menawarkan jaminan sebanyak RM2juta kepada kedua-dua tertuduh, atas alasan jumlah pecah amanah yang didakwa terlibat melibatkan jumlah yang besar.

Azlin turut memohon dua syarat tambahan termasuk dua penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Hakim, membenarkan jaminan sebanyak RM2 juta kepada Sarchu manakala Han Kook dibenarkan jaminan sebanyak RM1 juta.

Mahkamah turut membenarkan dua syarat yang dipohon.

Pada Disember tahun lalu, Han Kook bersama seorang lagi bekas ahli lembaga syarikat tersebut didakwa atas tuduhan menipu pegawai bank Malayan Banking Berhad menggunakan dokumen palsu membabitkan lebih RM67 juta.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan dibenarkan jaminan sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.